LIMBANG: Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Limbang sentiasa komited dalam membantu penduduk yang memerlukan bantuan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, persatuan Bulan Sabit Merah sering terlibat dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana seperti kebakaran, banjir dan membantu untuk menambah bank darah di Hospital Limbang serta aktiviti kemanusiaan yang lain.
"Persatuan Bulan Sabit Merah aktif memberi sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan seperti warga emas untuk menghadapi perayaan-perayaan utama di Daerah Limbang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Sempena Hari Gawai 2024 di Dewan Kampung Bunga Raya, Limbang baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Limbang Chew Sing Liang berkata program ini menyasarkan warga emas berusia 65 tahun ke atas.
Beliau dalam pada itu berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban bagi mereka yang kurang berkemampuan.
Pada majlis tersebut Datuk Dr Abdul Rahman turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM35,000 untuk Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Limbang menjalankan aktiviti mereka.
Sekitar 200 orang warga emas hadir menerima sumbangan berupa beras dan wang tunai dalam program tersebut. -EDISI UKAS