BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi selamat berangkat pulang ke Kuching pada jam 3 petang waktu tempatan selepas menamatkan lawatan kerja rasmi tiga hari ke Brunei Darussalam.
Mengiringi beliau ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri, Datin Amar Baduyah Bujang.
Sebelum itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri bersama rombongan telah dibawa menaiki Kapal Brunei River Cruise menelusuri keindahan sejarah perairan Sungai Brunei.
Bersantai sambil menimba pengetahuan khazanah silam selama kira-kira 45 minit, itulah menariknya destinasi ini yang sememangnya mampu mewujudkan pengalaman terindah menerokai keindahan perairan Sungai Brunei yang pastinya memiliki khazanah pulau-pulau penuh bersejarah.
Apa yang menariknya, walaupun Kampung Ayer ketika ini sudah jauh berubah, namun ia tidak akan mengubah kemeriahan suasana persekitarannya dengan kebisingan perahu tambang serta penduduk kampung berjalan di atas jambatan.
Turut menarik perhatian ialah infrastruktur sekolah yang dibina di atas air.
Terdahulu pada sebelah pagi, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama delegasi telah melawat ke Pusat Sejarah Brunei.-EDISI UKAS