KUCHING: Persidangan Juruaudit Kebangsaan (PJK) 2024 yang julung kalinya diadakan di Kuching berjaya menghimpunkan penyertaan kira-kira 800 juruaudit daripada sektor awam dan swasta dari seluruh negara.
Dengan membawa tema “Memperkasa Tatakelola: Mendepani Cabaran Masa Kini”, adalah seiring dengan dasar kerajaan
Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa menekankan kepentingan tata kelola dalam pengurusan wang awam, demi melonjakkan semula Malaysia di persada antarabangsa.
Selain itu, persidangan ini menampilkan panel jemputan dari pelbagai agensi dan badan profesional swasta serta awam yang berkongsi pengalaman dan pengetahuan, dalam sesi forum dan ceramah melibatkan pelbagai topik seperti pendigitalan organisasi, peranan audit dalam dan pemerkasaan tatakelola dalam cabaran masa kini.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, persidangan seperti ini penting sebagai platform bertukar pandangan dan idea mengenai perkembangan terkini berkaitan profesion serta membincangkan cabaran, pendekatan dan kaedah terbaik untuk menghadapi cabaran tadbir urus masa kini.
Jelasnya, penglibatan speaker dan ahli panel berwibawa serta para peserta dari pelbagai sektor dalam persidangan ini menjadi platform bagi juruaudit untuk membincangkan isu-isu semasa serta solusi yang mampan dan dinamik.
“Topik- topik yang dibahas dan dibincang dalam persidangan ini meliputi pendigitalan organisasi, peranan Audit Dalam untuk memantapkan tata kelola serta usaha-usaha pemerkasaan tata
kelola dalam situasi yang penuh cabaran masa kini.
“Lontaran idea dan gagasan bernas daripada juruaudit dan pemain industri daripada pelbagai sektor, pastinya akan membuahkan hasil yang
mampan dan dinamik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Juruaudit Kebangsaan (PJK) 2024, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Selasa.
Hadir sama adalah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Penerbangan dan Jalan Raya), Datuk Dr. Jerip Susil, Timbalan Menteri Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee dan Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), Patimah Ramuji.-EDISI UKAS