GLC Sarawak Perlu Jana Pendapatan Sendiri, Terokai Kaedah Baharu

Disiarkan pada 25 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS




KUCHING: Semua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Sarawak perlu meneroka kaedah-kaedah baharu untuk menjana pendapatan sendiri.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkara itu adalah untuk mengubah pemikiran mana-mana GLC yang hanya bergantung kepada suntikan dana kerajaan dan tidak mempedulikan keuntungan mahupun kerugian.

Menurutnya, menerusi suntikan dana itu pula boleh digunakan bagi tujuan lain seperti pembangunan sekolah, klinik dan infrastruktur asas di Sarawak.

“Jadi kerajaan tidak lagi perlu beri dana, kerajaan akan menggunakan simpanan itu untuk pembangunan infrastruktur seperti sekolah, klinik dan infrastruktur asas. Apabila semua infrastruktur dan fasiliti) dah ada, ekonomi pun stabil, rakyat akan menerima manfaatnya.

“Kita perlu ubah pemikiran di mana bantuan kerajaan diharapkan sekiranya terdapat kerugian yang dialami oleh mana-mana GLC,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Juruaudit Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Selasa.

Terdahulu ketika berucap, Premier Sarawak menegaskan keperluan negeri ini untuk memperkukuhkan integriti dan Ordinan Ombudsman Sarawak supaya semua penjawat awam mematuhi tatakelola yang telah ditetapkan.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan. -EDISI UKAS