BINTULU: Tuai Rumah digesa agar berani tampil menegur wakil rakyat yang lalai menjalankan tanggungjawab mereka terhadap perkembangan mahupun keperluan di kawasan masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, rakyat adalah majikan sebenar dan berhak untuk menukar jika wakil rakyat yang dipilih tidak menjalankan tugas.
“Saya turut mengingatkan agar semua Tuai Rumah sentiasa menegur wakil rakyat mereka sekiranya ada membuat kesalahan termasuk saya sendiri yang terbuka dengan semua teguran ini.
“Bagi diri saya, teguran membina ke arah kebaikan agar terus membangunkan Jepak dan membantu rakyat terutamanya di rumah-rumah panjang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengerami Ngiling Tikai 2024 di Rh James Kalip, Semanok di sini pada Sabtu.
Katanya lagi, sekiranya amanah dan tanggungjawab ini tidak dilakukan dengan baik, maka dia akan dipersoalkan di akhirat seperti yang dipegang dalam agama Islam.
Dalam pada itu, Iskandar turut memaklumkan bahawa semua rumah panjang akan diagihkan geran tahunan MRP dan tiada yang akan tertinggal.
Tambahnya lagi, beliau berharap agar segala aduan dari rumah panjang disalurkan kepada beliau melalui surat agar tindakan untuk penambahbaikan infrastruktur dikawasan rumah panjang dapat diselesaikan dengan baik.
Pada majlis tersebut, pelbagai aktiviti diadakan seperti simbolik upacara miring, ‘ngetas ranyai’ dan diakhiri dengan majlis ‘ngiling tikai’. -EDISI UKAS