Aktiviti Perniagaan Mampu Tingkatkan Sosioekonomi Pakan

Disiarkan pada 04 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



PAKAN: Penglibatan masyarakat luar bandar dalam aktiviti perniagaan mampu menarik minat orang luar sekaligus meningkatkan sosioekonomi di kawasan Pakan.

Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Tan Sri William Mawan Ikom berkata, setakat ini sebanyak 30 buah gerai menjual hasil hutan, kebun dan sungai dari enam buah rumah panjang sekitar simpang Jalan Ulu Pedanum, Pakan telah memasarkan hasil produk masing-masing.

“Saya menyokong usaha yang dilakukan oleh penduduk rumah-rumah panjang ini kerana aktiviti sebegini mampu meningkatkan pendapatan penduduk selain menarik orang luar datang bagi mendapatkan hasil yang dikeluarkan dari Daerah Pakan.

“Lebih-lebih lagi Jalan Pakan ke Ulu Kota seterusnya ke Ulu Paku yang bernilai RM247 Juta hampir siap dan akan menjadi jalan perhubungan kedua (Second Trunk Road).

“Jalan Pakan-Ulu Kota-Ulu Paku ini boleh memendekkan perjalanan sebanyak 50 kilometer dari Lebuhraya Pan Borneo di Sarikei ke Pan Borneo di Bahagian Betong,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa meninjau dan melawat tapak gerai-gerai tersebut di sini pada Khamis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan itu yakin sekiranya projek jalan ini siap sepenuhnya, lebih banyak lagi kawasan di Pakan akan dapat dibangunkan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta perniagaan kepada rakyat di daerah itu.

Lawatan itu juga bertujuan mengenalpasti keperluan, kemudahan serta lokasi yang sesuai serta projek-projek yang dijangkakan perlu bagi kemudahan penduduk menjalankan aktiviti perniagaan mereka.

Ujarnya, antara kemudahan yang dikenalpasti ialah bekalan air, elektrik, tandas awam dan lain-lain.

Dalam pada itu, Tan Sri William memberitahu, pada masa ini pihak Pejabat Tanah Dan Survei akan meneliti dan memastikan status tanah yang ada sedia digunakan oleh para peniaga ini untuk tindakan selanjutnya.

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Pakan Yalin Asan, wakil-wakil Pejabat Tanah dan Survei Sarikei, wakil-wakil MDMJ dan tuai-tuai rumah. -EDISI UKAS