BANDAR SERI BEGAWAN: Mushaf Nurul Iman atau Kitab Al-Quran yang terbesar di Brunei Darussalam yang dipamerkan di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) berjaya 'menawan' hati Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi semasa mengadakan lawatan ke pusat khazanah berkenaan di sini pada Isnin.
Sebaik tiba sekitar jam 2.15 petang di BKISHHB, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi telah diberi taklimat ringkas mengenai penerbitan karya seberat 255 kilogram itu oleh Pengarah Dr. Awang Mohammed Hussain Pehin Penyurat Awang Ahmad.
Menarik perhatian Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi telah diberi penerangan ringkas mengenai Kitab Al-Quran yang berukuran panjang 145 sentimeter dan lebar 95 sentimeter itu telah mengambil masa sembilan bulan untuk disiapkan sepenuhnya pada 30 Jun 2006.
Mushaf Nurul Iman merupakan pemberian daripada seluruh rakyat Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddien Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang ke-60 tahun pada 17 Ogos 2006.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri, Datin Amar Baduyah Bujang.
BKISHHB juga merupakan satu tempat menyimpan dan mempamerkan bahan koleksi Islam milik peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Selepas mengadakan lawatan di BKISHHB sekitar jam 4 petang, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta rombongan telah berangkat menghadiri Majlis Bertahlil di Kubah Makam Diraja di Jalan Tutong, Bandar Seri Begawan.
Usai majlis tahlil itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menyiram air mawar di Makam Diraja di situ. -EDISI UKAS