Tekankan Penguasaan Bidang Sains dan Teknologi Demi Masa Depan Anak-Anak

Disiarkan pada 24 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS




BETONG: Dasar Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada masyarakat terutamanya golongan belia yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains dan teknologi.

Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu berkata para ibu dan bapa digalakkan untuk memberi dorongan kepada anak-anak untuk menguasai bidang sains dan teknologi dalam memenuhi kehendak tenaga mahir pada masa akan datang.

Jelasnya, penguasaan dalam bahasa Inggeris juga harus diutamakan kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa global dan juga bahasa digital serta ekonomi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Saribas Sesi 2024 pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau sedar kebanyakan sekolah di luar bandar memerlukan banyak keperluan bina baru atau baikpulih prasarana.

Dalam hal ini, beliau menyarankan kepada pihak sekolah untuk membuat permohonan berkaitan perkara tersebut demi keselesaan para guru dan anak murid sekolah dalam sesi pembelajaran.

Selain itu, Dr Richard turut meluluskan sumbangan alat pendingin hawa bagi kegunaan di bangunan Makmal Komputer Ke-2 Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Saribas.

Manakala sebanyak RM20,000 turut diluluskan bagi sumbangan dana untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Saribas.

Turut hadir Penolong Kanan (PK) Pentadbiran menjalankan tugas Pengetua SMK Spaoh Gary Tindi Guang, Yang Dipertua PIBG SMK Saribas Abang Akim Abang Ahmad Hamzah dan Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Betong, Piee Alwi.-EDISI UKAS