KOTA SAMARAHAN: Sebanyak tiga buah sekolah di sini mendapat manfaat daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Jabatan Audit Negara sempena Persidangan Juruaudit Kebangsaan 2024.
Sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Empila, SK Mang dan SK Kampung Melayu di mana peserta-peserta yang terlibat telah mengadakan aktiviti bergotong-royong di semua sekolah yang terlibat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, program yang julung kali diadakan di Sarawak kali ini juga telah berjaya mengumpulkan beberapa jenis sumbangan daripada agensi-agensi yang menjadi rakan strategik dalam menjayakan program CSR ini.
“Kita ingin mengucapkan Lembaga Air Kuching kerana telah menyumbangkan satu tangki air beserta kaki konkrit.
“Selain itu, kita juga ada sumbangan daripada Sarawak Energy Berhad berupa kipas dan lampu baharu di bilik darjah serta tidak lupa juga Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membantu meratakan tempat parkir kereta guru di SK Kampung Empila,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee sempena majlis penutupan program CSR Jabatan Audit Negara di Dewan Masyarakat Kampung Melayu di Kota Samarahan pada Isnin.
Jelas beliau lagi, program seumpama ini sedikit sebanyak dapat memberi suasana yang selesa dan kondusif kepada warga sekolah untuk menjalankan aktiviti pembelajaran mereka.
“Kita memahami kepentingan suasana selesa dan kondusif dalam proses pembelajaran dan berharap dengan sedikit sumbangan ini akan meningkatkan lagi keselesaan warga sekolah yang terdiri dari pelajar-pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah yang lain,” tambah beliau lagi.
Terdahulu, Datu Hii telah mewakili Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menyampaikan sebuah tangki air beserta kaki konkrit sumbangan Lembaga Air Kuching kepada SK Kampung Melayu.
Dalam majlis yang sama, Jabatan Audit Negara melalui Timbalan Pengarahnya, Patimah Ramuji telah menyampaikan sumbangan alat pemadam api kepada sekolah yang terlibat.
Antara sumbangan lain yang diterima pada program kali ini adalah sumbangan anak pokok belian, pokok-pokok bunga dan sebanyak 300 unit kerusi plastik.
Hadir sama Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNION) Wan Muhammad Al Aydruce, Pengarah Unit Audit Dalam Toiey Tioh, Pengarah Jabatan Audit Negara Negeri Sarawak (JANNS) Rokiah Sahat, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Mohamed Khaidir Abang, Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan Awang Hapeni Awang Onget serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS