CEO STATOB Sudah Dikenal Pasti, Pejabat Akan Dibuka Dalam Masa Terdekat

Disiarkan pada 24 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS




BANDAR SERI BEGAWAN: Kerajaan Sarawak sudah mengenal pasti calon bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Brunei (STATOB).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, CEO tersebut akan mengetuai operasi pejabat itu kelak, malah buat masa ini Pejabat STATOB sudah siap sepenuhnya dan dijangka dibuka dalam masa terdekat.

Menurutnya, dengan pembukaan pejabat itu kelak, beliau berharap kerjasama ekonomi dan perdagangan dua hala di antara Kerajaan Brunei dan Kerajaan Sarawak terus dipertingkatkan demi kepentingan bersama.

"Saya yakin kerjasama Kerajaan Brunei Darussalam dengan Kerajaan Sarawak dalam pelbagai sektor khususnya perdagangan dan pelancongan sekaligus membawa kesejahteraan dan kemakmuran bersama," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi Bersama Diaspora Sarawak di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam di sini malam Ahad.

Hadir sama memeriahkan majlis makan malam itu ialah isteri Datuk Amar Awang Tengah, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri, Datin Amar Baduyah Bujang, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Menteri Pengiring, Pengiran Dato Seri Setia Shamhary Pengiran Dato Paduka Mustapha, Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Nur Ezira Mahadi serta tetamu kehormat lain.

Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu, lawatan kerja Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi ke Brunei Darussalam sememangnya amat bermakna dan sudah tentu akan terus mengeratkan lagi hubungan akrab yang sedia terjalin antara Brunei dan Sarawak.

"Hubungan akrab antara Brunei Darussalam dengan Sarawak amat penting bukan hanya sebagai jiran, malah kita telah lama mempunyai jalinan kerjasama dalam sektor seperti perdagangan dan pelaburan khususnya dalam pembangunan sosio-ekonomi," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri dan rombongan berangkat pulang ke penginapan rasmi di sini pada jam 10 malam selepas menyantuni dan beramah mesra dengan anak-anak Sarawak yang berada di Brunei Darussalam. -EDISI UKAS