BINTULU: Bintulu kini berkembang sebagai sebuah bandar yang pesat membangun dalam sektor perindustrian di mana banyak kawasan baharu diterokai.
Menurut Timbalan Residen Bahagian Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey, program penanaman semula pokok memberi impak positif terhadap alam sekitar dan merupakan satu usaha jangka masa panjang ke arah pemuliharaan hutan di negeri ini khususnya Bintulu.
Jelasnya, penanaman semula pokok amat penting bagi memastikan pembangunan seimbang dengan kehijauan hutan dan alam sekitar untuk memastikan pembangunan dilaksanakan tidak mengabaikan alam sekitar.
“Melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat korporat termasuk pelbagai agensi kerajaan mampu menjayakan program penanaman semula pokok dengan lebih progresif dan berjaya pada masa hadapan.
“Ini sekaligus membolehkan usaha pemuliharaan hutan dijalankan secara konsisten kerana mendapat kerjasama padu daripada semua pihak.
“Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) akan terus menyokong apa sahaja program berkaitan pemuliharaan alam sekitar di bahagian ini sekali gus menjadi contoh kepada bahagian lain di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program ‘Nourish Nature Nurture Future’ di Balai Raya RPR Kidurong pada Sabtu.
Program ‘Nourish Nature Nurture Future’ adalah selari dengan matlamat pembangunan lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta menyokong inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menanam 35 juta pokok yang sejajar dengan Kempen Penanaman 100 juta pokok 2021-2025 yang dimulakan oleh Kerajaan Malaysia.
Program yang dijalankan secara kolaboratif antara syarikat dan juga agensi kerajaan tersebut merupakan langkah bijak bagi merealisasikannya.
Ketua PTTEP Malaysia Asset Malaysia Sarawak Denkey Thatchaichawalit berkata, usaha bersepadu ini bertujuan untuk meningkatkan landskap tempatan dan menangani isu alam sekitar yang penting seperti peningkatan pelepasan karbon dan hakisan tanah.
"Perhutanan bukan sahaja akan menyerap pelepasan karbon tetapi juga mewujudkan habitat yang berkembang maju untuk hidupan liar tempatan.
“Inisiatif ini selaras dengan strategi syarikat kami untuk memupuk pertumbuhan perniagaan sambil mengekalkan tanggungjawab terhadap masyarakat dan alam sekitar komuniti,” ujar beliau.
Hadir sama Penolong Pengurus Besar (Alam Sekitar) BDA Maimunah Matali, Ketua JAS Cawangan Bintulu Abdul Mazli Hafiz Abdul Malik serta tetamu lain.-EDISI UKAS