SIBU: Lebih 544 peserta mengambil bahagian dalam Larian amal 'Unity Run 2.0' Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist yang melibatkan empat kategori iaitu jarak sejauh 5km dan 3km untuk kategori lelaki dan wanita.
Lima pemenang tempat teratas bagi kategori 5km menerima hadiah wang tunai, pingat dan sijil dan pemenang lima tempat teratas kategori 3km juga akan menerima pingat dan sijil, manakala peserta yang berjaya menamatkan larian telah membawa pulang sijil penyertaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek merangkap Pengerusi Persatuan Alumni SMK Methodist Joseph Chieng Jin Ek telah hadir menyempunakan simbolik pelepasan di sekolah tersebut pada Sabtu.
Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Methodist Ting Wei Ping berkata, larian amal itu diadakan untuk mengumpul dana bagi menjalankan aktiviti PIBG SMK Methodist.
Jelasnya, pihak penganjur telah meletakkan sasaran kutipan dana sebanyak RM50,000, namun tetap berpuas hati dengan jumlah dana yang diperolehi daripada penganjuran larian itu.
"Dengan adanya jumlah penyertaan yang menggalakan merupakan satu pencapaian yang cukup baik bagi penganjuran aktiviti larian ini," ujarnya.
Penganjur berharap dan menyeru agar lebih ramai dalam kalangan ibu bapa pelajar melibatkan diri dalam aktiviti PIBG seperti ini.
Kutipan dana itu akan disalurkan bagi kegunaan pemberian insentif khas pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan sebagainya.
Hadir sama Pengetua SMK Methodist Philip Ling Swee Nge serta Presiden Lembaga Pengurusan SMK Methodist John Ting. -EDISI UKAS