LIMBANG: Kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri sedang bertungkus lumus membuat persiapan untuk menyambut 2026 sebagai tahun melawat Malaysia.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata Menteri Pelancongan Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing telah membuat promosi ke luar negara dan memberikan visa percuma selama sebulan kepada pelancong-pelancong dari negara China dan India untuk menarik mereka melancong ke Malaysia.
“Kita juga ingin melihat dan menarik kedatangan pelancong-pelancong ini ke Sarawak khususnya ke Daerah Limbang.
“Selaku wakil rakyat, kita perlu memikirkan bersama bagaimana kita hendak menarik mereka datang melancong ke Limbang supaya dapat menjana sektor pelancongan dan ekonomi penduduk-penduduk bandar, pinggar bandar dan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Malam Budaya Tahun 2024 di Perkarangan Tempat Letak Kenderaan, Limbang pada Jumaat.
Sehubungan itu, Datuk Hasbi berharap agar Pejabat Residen dan agensi-agensi kerajaan akan melihat perkara berkenaan dengan mengumpul produk-produk pelancongan yang ada di Daerah Limbang termasuklah Malam Kebudayaan seperti ini.
“Saya tidak mahu kita sebagai tukang lihat saja di kaca tv dan media sosial kedatangan pelancong ke tempat-tempat lain di negara kita.
“Kita tidak dapat mengharapkan sepenuhnya kepada kerajaan untuk mempromosi produk-produk pelancongan kita sahaja tetapi kita sendiri juga mesti pandai mengurus dan mengolahnya,” tambahnya.
Hadir sama majlis Pegawai Daerah Limbang wakil Residen Bahagian Limbang Sulaiman Engal, Walikota Majlis Daerah Limbang Kr Sufian Mohat, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Limbang Dato’ Wong King Hoong serta tetamu lain.-EDISI UKAS