Usaha CENTEXS Ketengahkan Kepentingan Teknologi Harus Diberi Penghargaan

Disiarkan pada 23 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS




MIRI: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) harus diberi penghargaan dalam aspirasi mengetengahkan kepentingan teknologi di Sarawak.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata bahawa teknologi-teknologi yang giat dijalankan di CENTEXS melalui program beriktiraf pensijilan berasaskan industri merupakan usaha untuk menyediakan tenaga mahir dan membangunkan industri di Sarawak ke arah kemakmuran ekonomi seiring dengan aspirasi PCDS 2030.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Hydrogen dan Tech Safari 4.0 Miri pada Sabtu.

Penganjuran Tech Safari menawarkan tiga kursus asas latihan kemahiran CTOP iaitu Kursus Gunting Rambut, Kursus Asas Solekan, dan Kursus Taman Secara Hidroponik dengan penyertaan merangkumi 552 orang pelajar dari sekolah sekitar Miri.

Dalam pada itu, beliau memuji inisiatif program ini kerana tahap kemahiran dan pembangunan tenaga mahir adalah penting kerana pembangunan modal insan merupakan kunci utama untuk menjamin kemakmuran jangka panjang Sarawak.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Dato Syeed Mohd. Hussien Wan Abdul Rahman serta dif kehormat lain. –EDISI UKAS