Sejarah Usongan Diraja Menarik Perhatian Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi

Disiarkan pada 23 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS



BANDAR SERI BEGAWAN: Sejarah Usongan Diraja yang dipamerkan di Muzium Alat Kebesaran Diraja menarik perhatian Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa mengadakan lawatan ke muzium berkenaan di sini pada petang Ahad.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi yang tiba pada jam 2.15 petang di situ tertarik melihat reka bentuk Usongan Diraja yang telah digunakan semasa Istiadat Perpuspaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddien Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusssalam pada 1 Ogos 1968.

Alat kebesaran diraja ini diusung oleh 40 orang Pengiran kebanyakan yang khas keturunannya terdiri dari anggota Pasukan Askar Melayu Diraja Brunei yang lengkap berpakaian sepengadak hitam.

Baginda telah diarah mengelilingi Bandar Brunei yang sekarang dikenali sebagai Bandar Seri Begawan yang bermula dari Balai Bomba Bandar Brunei menuju ke Lapau dan sebaliknya.

Lebih menarik, Ia juga digunakan semasa lawatan Baginda Queen Elizabeth II ke Brunei pada tahun 1972.

Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Manakala rombongan Brunei Darusssalam pula diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohd Hasnan Pengiran Ali Hassan, Pemangku Pengarah, Jabatan Muzium-Muzium Brunei Pengiran Rosli Pengiran Halus serta Timbalan Pengarah, Jabatan Muzium-Muzium Brunei Pengiran Mahani Pengiran Ahmad.

Usai menikmati keunikan sejarah Usongan Diraja, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama isteri dan rombongan kemudian dihiburkan dengan dendangan lagu rakyat Sarawak, Puteri Santubong oleh kumpulan pemuzik gamelan.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi beserta rombongan seterusnya melawat Pameran Diraja iaitu galeri yang mempamerkan sejarah hidup Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusssalam daripada zaman kanak-kanak sehingga Istiadat Perpuspaan Baginda.

Lebih menarik ia gambar-gambar, objek-objek dan model bahan memperlihatkan secara kronologi kehidupan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusssalam seperti latarbelakang pendidikan, aktiviti kesukanan dan Majlis Perkahwinan Diraja.

Galeri berkenaan juga mempamerkan alat-alat kebesaran diraja seperti Kucing Emas dan Tongkat Ajai.

Sebelum menamatkan lawatan ke muzium tersebut pada jam 4 petang, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri telah berbesar hati menandatangani buku pelawat Muzium Alat Kebesaran Diraja.

Untuk rekod, Muzium Alat Kebesaran Diraja dirasmikan pada 30 September 1992 oleh Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddien Waddaulah bersempena majlis sambutan Jubli Perak 25 Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusssalam menaiki takhta.

Reka bentuk bangunan Muzium Alat Kebesaran Diraja menggabungkan ciri-ciri konsep Melayu Islam Beraja dan mempamerkan alat-alat kebesaran dan perhiasan diraja Negara Brunei Darussalam.-EDISI UKAS