Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Serta Isteri Selamat Tiba Di Brunei Bagi Lawatan Kerja Rasmi

Disiarkan pada 23 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS




BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi selamat tiba di Brunei Darussalam dalam lawatan kerja rasmi selama tiga hari di negara berkenaan bermula hari ini.

Lawatan rasmi ke Brunei Darussalam adalah yang pertama sejak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan pada 29 Januari lepas.

Pesawat khas yang membawa Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi beserta rombongan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada jam 12 tengah hari waktu tempatan.

Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sarawak serta isteri dan rombongan telah disambut oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Menteri Pengiring, Pengiran Dato Seri Setia Shamhary Pengiran Dato Paduka Mustapha.

Majlis sambutan rasmi dimulakan dengan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Usai memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan Diraja, Yang di-Pertua Negeri Sarawak serta isteri kemudian berangkat ke tempat penginapan rasmi selama tiga hari dalam kunjungan muhibbah ini.

Manakala pada sebelah petang, Yang di-Pertua Negeri Sarawak bersama rombongan akan mengadakan lawatan ke Muzium Alat Kebesaran Diraja yang terletak di tengah-tengah Bandar Seri Begawan dan berada berdekatan dengan Pusat Sejarah Brunei.

Pada sebelah malam pula, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta Toh Puan Fauziah akan menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Rakyat Sarawak di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

Memasuki hari kedua pula, Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan berangkat ke Majlis Mengadap Kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien di Istana Nurul Iman pada jam 11.30 pagi.

Usai majlis menghadap itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi akan melawat Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Jalan Pengiran Babu Raja pada jam 3 petang, seterusnya bertahlil di Kubah Makan Diraja dan menghadiri jamuan malam bersama delegasi.

Pada hari ketiga, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta rombongan akan mengadakan lawatan ke Pusat Sejarah Brunei dan menyelusuri Sungai Brunei sebelum berangkat pulang ke Sarawak pada jam 2.30 petang.-EDISI UKAS