Agihan Bubur Pedas Diteruskan Di Sebuyau

Disiarkan pada 04 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SEBUYAU: Program agihan bubur pedas masih diteruskan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau walaupun sudah memasuki minggu terakhir bulan Ramadan.

Dalam majlis tersebut, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi telah mengagihkan sebanyak 250 pek bubur pedas di Masjid Darul Aman Sebangan pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau turut menyantuni 65 asnaf dengan menyampaikan bantuan wang tunai dan buah kurma serta bakul makanan sumbangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak.

Majlis pada petang itu diteruskan dengan acara berbuka bersama penduduk yang hadir di masjid tersebut.

Hadir sama Naib Presiden Pengupayaan Sumber Manusia dan Perhubungan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Ismail Said, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Naib Presiden Kanan Strategi Korporat PETROS Abang Arabi Abang Narudin, Pengurus Sarawak FM mewakili Pengarah Penyiaran Sarawak Noraini Ibrahim, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunukasi Sarawak Syed Mohamad Fauzi Shahab, Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Sebuyau. -EDISI UKAS