Raptai Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024 Berjalan Lancar

Disiarkan pada 21 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Raptai Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) berjalan lancar pada Jumaat.

Majlis makan malam tersebut bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada malam esok.

Pelbagai persembahan, simbolik, dan persiapan telah diadakan yang berfokuskan kepada budaya dan adat Kaum Bidayuh di samping turut menampilkan kebudayaan kaum Iban dan Orang Ulu.

Pada malam tersebut juga akan menyaksikan Anugerah Ikon Sukan Belia Dayak 2024 bakal disampaikan oleh Perdana Menteri kepada atlet-atlet kaum Dayak yang telah banyak berjasa kepada negeri dan negara.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada berkesempatan untuk hadir menyaksikan raptai itu bagi memastikan ia berjalan dengan lancar malam esok.

Turut hadir Pegawai Tadbir Khas Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching Datu Ik Pahon Jayik, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Aniela Siam, Pengurus Besar SALCRA Joseph Blandoi serta kakitangan-kakitangan daripada Pejabat Perdana Menteri.

Untuk makluman, sambutan pada tahun ini menyaksikan komuniti Bidayuh telah dipilih sebagai penganjur utama dengan satu jawatankuasa telah dibentuk yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.

Majlis makan malam ini merupakan kemuncak bagi Sambutan Perayaan Gawai Dayak 2024 dengan pelbagai pengisian program sepanjang Gawai Dayak diadakan seperti perarakan Niti Daun, Bazar Gawai dan Karnival Gawai. -EDISI UKAS