Kesedaran Tangani Kebakaran Bermula Dari Individu

Disiarkan pada 04 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kesedaran mengenai kebakaran perlu bermula dari individu sendiri untuk mengelakkan insiden kebakaran rumah lebih-lebih lagi pada musim perayaan ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, individu perlu mengetahui langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil jika berlaku kebakaran dan bukannya mengharapkan kepada pihak bomba sahaja.

“Semua kita memainkan peranan penting untuk mencegah kebakaran di rumah daripada berlaku.

“Kita tidak boleh mengharapkan sepenuhnya kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memadam api kebakaran seterusnya menyalahkan mereka sekiranya rumah tidak dapat diselamatkan.

“Memang keadaan infrastruktur yang kurang akan menyukarkan pihak bomba untuk memadamkan kebakaran dengan pantas namun tanggungjawab pertama mencegah perkara ini daripada berlaku bermula dari anda,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak di Kuching pada Khamis. 

Datuk Amar Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menambah setiap individu perlu mengetahui cara-cara memadamkan api kebakaran sebelum ianya marak dan memusnahkan harta benda mereka. 

“Apabila berlakunya kebakaran, kebanyakan kita akan panik dan tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan.

“Jadi untuk menangani masalah ini, mereka perlu dilatih sejak dari sekolah dan didedahkan dengan perkara-perkara seperti ini lebih awal,” tambah beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak atas usaha berterusan dalam penganjuran kempen keselamatan baik pada musim perayaan mahupun di peringkat sekolah.

Dalam majlis tersebut, Datuk Amar Dr Sim diberi penghormatan untuk menyampaikan Sijil Hero Bomba kepada 13 individu yang berjaya memadamkan kebakaran di tempat kerja mereka manakala enam lagi Hero Bomba tidak dapat hadir disebabkan jarak yang jauh.

Hadir sama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak Datu Khirudin Drahman@Husaini, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak Tiong Ling Hii serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS