KUCHING: Sebanyak 37 projek yang bernilai kira-kira RM769 juta telah disenaraikan dan dicadang dalam Rancangan Pembangunan Simunjan dalam tempoh 2021 sehingga 2030.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, pada asalnya sebanyak 40 projek yang telah disenaraikan namun sebanyak tiga projek telah digugurkan hasil daripada kajian semula.
"Tetapi, setelah kita membuat kajian semula dalam masa dua hari ini, terdapat tiga projek telah digugurkan yang berjumlah RM160 juta atas persetujuan semua peserta bengkel yang terlibat dan kita kekalkan 37 projek bernilai RM769 juta.
"Jadi secara ringkasnya, daripada 37 projek tersebut, 14 projek kira-kira bernilai RM481 juta telah dan sedang dilaksanakan berjalan dengan lancar," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penangguhan Bengkel Kajian Semula Rancangan Pembangunan Simunjan 2021-2030 tahun ini di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Rodiyah menambah, melalui bengkel dua hari ini juga telah menambah sebanyak 39 lagi projek baharu menjadikan sebanyak 76 pojek yang akan disenaraikan dan dicadangkan dalam Rancangan Pembangunan Simunjan 2021 - 2030.
"Berdasarkan kepada kajian semula dalam tempoh dua hari ini, kita telah menambah 39 projek baharu selain daripada projek lama sebanyak 37 projek dan menjadikan jumlah kesemua projek adalah sebanyak 76 projek dengan anggaran kasar bernilai RM852 juta untuk tempoh sehingga 2030.
"Kita berharap kesemua projek ini dapat dilaksanakan sekurang-kurang 80 peratus dan apa yang kita rancang akan menjadi kenyataan," ujarnya lagi.
Beliau percaya dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang hadir pada bengkel kali ini, projek-projek ini akan dapat dicapai bagi memberi impak yang positif kepada rakyat sama ada dari segi pembangunan infrastruktur mahu pun pembangunan sosio ekonomi.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pegawai Daerah Simunjan Seroji Ludin, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Mohd. Rizal Zakaria, Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Samarahan Faemarshiela Christine Juel, Penghulu Ahmad Dol Simpol, Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi serta ketua-ketua dan wakil ketua jabatan agensi kerajaan bahagian Samarahan dan Daerah Simunjan. -EDISI UKAS