Raptai Larian Baton SUKMA XXI & Para SUKMA XXI Sarawak 2024 Peringkat Bahagian Samarahan Berjalan Lancar

Disiarkan pada 21 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS




KOTA SAMARAHAN: Sesi raptai penuh majlis perasmian Larian Baton Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 Peringkat Bahagian Samarahan yang akan berlangsung esok berjalan lancar.

Raptai yang bermula jam 10 pagi di The Summer Shopping Mall itu telah diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee yang turut dihadiri Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.

Dianggarkan seramai 500 orang peserta yang telah mendaftar akan menyertai Larian Baton dan Sukan X-Tive yang melibatkan 200 orang kakitangan kerajaan dan swasta, pelajar sekolah menengah, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

Perasmian program itu akan disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Pada masa sama, orang ramai di Bahagian Samarahan dijemput untuk hadir memeriahkan program ini nanti. -EDISI UKAS