Adaptasi Semangat Muqarabah, Sarawak Terkenal Di Persada Dunia

Disiarkan pada 21 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS






SARIKEI: Kerajaan Sarawak mengadaptasi semangat Muqarabah di dalam kepimpinannya yang mendorong kepada peningkatan populariti negeri ini di mata dunia.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dasar Kerajaan Sarawak yang menyeimbangkan alam sekitar dengan pembangunan telah diambil daripada semangat Muqarabah.

Menurutnya, Muqarabah pula bermaksud kesedaran atau 'mindfulness' di dalam bahasa Inggeris.

"Alhamdulillah atas semangat Muqarabah ini, Kerajaan Sarawak menumpukan perhatian dalam pembangunan menjagakan alam sekitar.

"Hingga hari ini, kita dikenali di seluruh dunia kerana pengeluaran tenaga hidrogen," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Naik Taraf Masjid Al-Muttaqqin di Sarikei pada Jumaat.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Sarawak telah meluluskan dana tambahan sebanyak RM1.5 juta untuk menaik taraf pagar masjid berkenaan.

"Untuk masjid ini, Datuk Len Talif Salleh juga telah meminta RM1.5 juta, jadi saya berilah RM1.5 juta.

"Mudah-mudahan ia akan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat," katanya.

Difahamkan, masjid baharu yang telah dinaik taraf dengan dana sebanyak RM9.5 juta itu telah mampu menempatkan seramai 2,500 jemaah dalam satu masa.

Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari juga berkesempatan menunaikan solat Jumaat bersama tetamu kehormat yang lain serta para penduduk tempatan.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Parlimen Sarikei Dato' Sri Huang Tiong Sii, Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir Yusuf Abdul Wahab dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha. -EDISI UKAS