Pantau Projek KUTS, Elak Kelewatan

Disiarkan pada 21 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS





KUCHING: Semua pihak yang terlibat dalam pembinaan projek Sistem Pembangunan Bandar Kuching (KUTS) perlu membuat pemantauan mengenai perkembangan projek tersebut dari masa ke semasa.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata ini bagi mengelakkan sebarang kelewatan dalam perlaksanaan projek tersebut.

“Pada masa yang sama, pihak yang terlibat harus mengambil tahu mengenai perkembangan proses kerja dan jika ada sebarang kelewatan, mereka harus tahu punca kelewatan dan mesti diperbetulkan pada permulaan projek, jangan tunggu sehingga projek sudah 20 hingga 30 peratus ketinggalan dari jadual.

“Kami berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan oleh itu semua pihak yang terlibat perlu memantau projek itu dengan rapi."

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan KUTS di Kuching pada Jumaat.

Dalam pada itu, Dato Sri Lee juga memberitahu bahawa pihak terlibat perlu mempunyai pelan penyelesaian (Catch Up Plan) sekiranya terdapat tanda-tanda kelewatan.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr. Jerip Susil dan pegawai-pegawai pelaksana yang terlibat.-EDISI UKAS