Pemerkasaan Belia Sarawak Bersifat Menyeluruh, Tidak Pandang Latar Belakang

Disiarkan pada 21 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS





KUCHING: Pemerkasaan belia di Sarawak melalui Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) bersifat menyeluruh dan tidak mengira latar belakang mereka.

Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara ini sudah termaktub dalam salah satu teras utama Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Jelas beliau, ia menyatakan bahawa semua rakyat Sarawak akan dan perlu menikmati kemakmuran dan kemajuan Sarawak termasuk memperkasakan belia-belia di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kuching.

“Pemilihan tema ‘No One Left Behind’ bagi MYSED Red Ribbon ini adalah bertepatan dengan tekad semangat membangunkan belia Sarawak di setiap pelusuk tanpa mengira latar belakang mereka.

“Premier Sarawak sering menegaskan generasi muda mengalas tanggungjawab besar di dalam menjaga masa depan Sarawak,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali sempena perasmian program MYSED Red Ribbon di PUSPEN Kuching pada Jumaat.

Dato Sri Abdul Karim menambah, dalam usaha memperkasakan lagi belia-belia di negeri ini, lebih banyak program pembangunan belia sedang dirangka di peringkat Sarawak, nasional dan antarabangsa.

“Ia adalah usaha untuk mengantarabangsakan belia Sarawak agar setaraf dengan belia dari negara maju lain.

“Seperti yang dinyatakan oleh Premier Sarawak semasa Sambutan Hari Belia yang lalu, belia merupakan obor kepada Sarawak dan merupakan tunjang kekuatan dan kesejahteraan masyarakat di masa hadapan,” tambahnya lagi.

Dalam program tersebut, seramai 260 klien PUSPEN Kuching telah terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 20 hingga 22 Jun ini.

Sehubungan dengan itu, Dato Sri Abdul Karim berharap agar klien-klien yang telah terlibat akan mempunyai kualiti, wawasan serta matlamat ke hadapan selepas tamatnya tempoh pemulihan mereka.

Hadir sama, Setiausaha Tetap MYSED Morshidi Fredrick, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Sarawak Abdul Hamidee Ibrahim, Pengarah PUSPEN Kuching Yuliani Yahya dan wakil Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat PUSPEN Kuching Profesor Madya Dr Abang Ahmad Riduan Abang Awet. -EDISI UKAS