Kuching Tuan Rumah Kejohanan Antarabangsa #BorneoPickleball

Disiarkan pada 04 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

KHAMIS, 4 APRIL 2024

 

KUCHING: Kuching dipilih menjadi tuan rumah Kejohanan Antarabangsa #BorneoPickleball yang akan berlangsung pada 9 hingga 12 Oktober depan. 

 

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, ia merupakan kejohanan antarabangsa pickleball terbesar di Malaysia dan Borneo dan amat penting bagi Sarawak untuk mengukuhkan profil destinasinya dalam sukan dan pelancongan sukan. 

 

“Semua mata tertumpu kepada Sarawak tahun ini kerana kita menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) pada Ogos depan.

 

“Ini satu lagi peluang strategik untuk menunjukkan keupayaan Sarawak untuk menganjurkan acara sukan global dan meningkatkan imej kita sebagai destinasi pelancongan sukan,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Kejohanan Antarabangsa #BorneoPickleball di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya pada Khamis.

 

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan menambah, dengan lebih banyak persatuan sukan membangunkan acara baharu di Sarawak.

 

Katanya, ia mampu menarik pelaburan baharu dalam kemudahan dan infrastruktur sukan. 

 

“Mengembang dan mengekalkan komuniti sukan Sarawak memerlukan pendidikan, penglibatan, kerjasama dan penyertaan seperti yang bakal ditunjukkan dalam kejohanan pickleball ini.

 

"Pickleball mungkin boleh ditambah sebagai kategori dalam SUKMA atau SEA Games bila ia berkembang dalam populariti dan menerima sambutan yang bagus," tambahnya.

 

Ujarnya, Kerajaan Sarawak akan terus berusaha mempromosikan negeri ini sebagai destinasi utama sektor pelancongan sukan.

 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu, Pengerusi BESarawak Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Haji Openg, Setiausaha Tetap MYSED Morshidi Fredrick, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS