RM200 Juta Diperuntuk Untuk Pembangunan Kawasan Beting Maro

Disiarkan pada 04 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


PUSA: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk menyediakan kemudahan dan pembangunan di kawasan Beting Maro

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor berkata, beberapa projek mega dirancang di kawasan itu kerana tidak mahu ia ketinggalan daripada arus pembangunan.

"Antara projek yang akan dibuat adalah jeti nelayan di kawasan perumahan nelayan dengan kos RM7 juta, Pusat Komuniti dengan kos RM8.5 juta, Mini Stadium dengan kos RM4 juta, sebuah kilang untuk membangunkan hasil tani dengan kos RM4 juta.

"Selain itu, jalan utama depan Masjid Al Amin  menuju ke Dataran Temengging Kadir dengan kos RM5 juta, Stesen Minyak PETROS dengan kos RM2 juta, dua buah surau bina baharu dan sebuah surau naiktaraf dengan kos RM5 juta di Kampung Beladin," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Ihya Ramadan di Kampung Beladin pada Rabu.

Tambah Razaili, medan niaga, arena sukan dan dewan terbuka juga turut dibina di kawasan ini.

"Jika (semua) projek ini sudah siap sepenuhnya ianya akan memberi 'wajah baru' dan kemudahan kepada penduduk di kawasan Beladin khususnya di kawasan Beting Maro," jelasnya.

Dari segi ekonomi dan pertanian ujarnya, beberapa ladang baru dibangunkan di kawasan Stirak untuk projek pertanian dan ternakan.

Sehubungan itu jelasnya, skim padi juga akan dibangunkan untuk menampung keperluan rakyat di kawasan ini dengan kos RM8 juta bagi meningkatkan ekonomi penduduk tempatan.

Dalam pada itu, Razaili telah meluluskan RM5,000 untuk Surau Kampung Tengah Beladin, RM10,000 untuk Pusat Tahfiz Beladin, RM10,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengah Beladin, RM5,000 untuk Surau Sinar Islam serta dua buah penghawa dingin untuk Surau Sinar Islam Kampung Hilir Beladin. -EDISI UKAS