601 Penerima Sumbangan Sejambak Kasih Aidilfitri Bahagian Bintulu & Tatau

Disiarkan pada 04 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



TATAU: Program Sejambak Kasih Hari Raya  Aidilfitri 2024 diteruskan lagi dengan sumbangan berjumlah RM60,100 diagihkan kepada seramai 601 orang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia Sarawak (JKMS) di bahagian Bintulu.

Daripada jumlah itu, seramai 100 penerima telah dijemput hadir untuk menerima sumbangan tersebut secara simbolik yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah di Masjid Darul Ibadah, di sini baru-baru ini.

Antara yang dijemput terdiri daripada 78 orang penerima dari daerah Tatau dan selebihnya dari daerah Bintulu

Semasa berucap, Dato Sri Fatimah memberitahu, sejak Januari hingga Mac 2024, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Bintulu telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM3,442,850 untuk 3,077 orang penerima bantuan bulanan JKMS di bahagian Bintulu.

Tegas beliau, ini menunjukkan komitmen kerajaan Sarawak untuk membantu golongan yang memerlukan sokongan dan bantuan dalam masyarakat.

Selain itu, Dato Sri Fatimah juga berkongsi mengenai bantuan-bantuan lain yang disediakan oleh kerajaan Sarawak demi menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhannya.

Turut hadir ialah Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Bintulu  Sharifah Mordiah Syed Ali, wakil Residen Bahagian Bintulu Amalina Ghazali dan Pemanca Daerah Tatau Gerosen Jubin.-Edisi UKAS