Penyelarasan Gaji Penjawat Sarawak Tertakluk Kepada Kerajaan Persekutuan

Disiarkan pada 18 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Penyelarasan kenaikan gaji penjawat awam di Sarawak tertakluk kepada keputusan daripada Kerajaan Persekutuan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, Kerajaan Sarawak telah bersedia untuk melaksanakan penyelarasan gaji selaras kenaikan gaji di peringkat persekutuan, namun perinciannya masih perlu dipersetujui dengan Kerajaan Persekutuan.

“Sebenarnya kita sudah bersedia untuk melaksanakan kenaikan gaji itu, tetapi kita masih tidak mengetahui butirannya (di peringkat persekutuan)," jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas Program Ibadah Korban Sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha anjuran Jabatan Premier Sarawak di Wisma Sabati di sini pada Selasa.

Premier Sarawak menambah, penyelarasan kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim bergantung kepada waktu pembentangan bajet untuk sejajar dengan dasar gaji yang ditetapkan di peringkat Persekutuan.

“Ia akan diumumkan pada waktu bajet, jadi saya terpaksa menunggu bajet. Kalau tidak, ia tidak akan selari dengan gaji yang ditetapkan di Kuala Lumpur.

“Kalau kita beri gaji penjawat awam Sarawak jumlah yang tertentu manakala Kerajaan Persekutuan memberi jumlah yang berlainan, ia akan menjadi susah,” ujarnya.

Turut hadir ialah isteri kepada Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali dan tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS