Kerajaan Sarawak Peruntuk RM1.5 Bilion Percepat Pembangunan Luar Bandar

Disiarkan pada 04 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion bagi mempercepatkan pembangunan luar bandar khususnya dalam sektor pendidikan dan kesihatan. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata dana tersebut adalah di bawah agensi pembangunan luar bandar seperti Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di mana sebahagian daripada dana tersebut boleh digunakan untuk memperbaiki dan membina semula sekolah dan klinik daif di luar bandar. 

Katanya, kerajaan negeri akan membantu membiayai projek Persekutuan bagi kedua-dua sektor seperti yang dipersetujui Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada minggu lepas di mana Sarawak membiayai dahulu projek-projek tersebut dan akan dibayar balik oleh kerajaan persekutuan. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Iftar Ramadan dan Solat sunat Tarawih bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak di Kuching pada Rabu.

Menjelas lanjut katanya, keadaan sekolah dan klinik di Sarawak perlu setara dengan pengiktirafan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia. 

Dedahnya, lebih 60 peratus klinik dan sekolah di Sarawak dalam keadaan daif dan tidak menepati kualiti yang dibenarkan Jabatan Kerja Raya. 

Tambah beliau, kerajaan negeri juga merancang untuk membina semula kuarters guru dan jururawat. 

Sementara itu, Premier Sarawak sempat menunaikan Solat Maghrib, Isya dan Sunat Tarawih bersama warga PDRM Kontinjen Sarawak bertempat di Masjid Al-Mujahidin, Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya selepas berbuka puasa. 

Turut hadir isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Pesuruhjaya Polis Sarawak YDH CP Dato Mancha Ata, Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak Datin Jennita William, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak YDH DCP Datuk lbrahim Darus, Naib Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak Datin Zanilatun Kamariah Zakaria serta warga PDRM kontinjen Sarawak. - EDISI UKAS