KUCHING: Kerajaan Sarawak dijangka memperkenalkan mekanisme bagi mengawal harga haiwan ternakan seperti sapi di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini susulan harga ternakan itu semakin meningkat setiap tahun.
Menurutnya, beliau sudah mempunyai cara baharu namun belum dapat diumumkan lagi.
“Semalam di Gedong, saya mempunyai satu cara untuk tahun hadapan di mana kita boleh mengawalkan harga sapi mahupun haiwan ternakan yang lain.
“Kelak saya akan umumkan kemudian (perkara tersebut),” katanya demikian ketika ditemui media selepas Majlis Kesyukuran Hari Raya Aidiladha Majlis Islam Sarawak di Dewan HIKMAH Petra Jaya di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu memberitahu sebanyak 1,240 haiwan ternakan telah dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha di seluruh negeri Sarawak dengan sapi menjadi haiwan korban terbanyak.
Jelasnya, ini menunjukkan masyarakat Islam di Sarawak berkemampuan untuk membeli haiwan ternakan bagi mengerjakan ibadah korban
“Walaupun harga (haiwan ternakan) di Sarawak agak tinggi berbanding di tempat-tempat lain, ini membayangkan masyarakat kita (Islam) ada keupayaan untuk menunaikan ibadah korban,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tun Tuanku Jaafar serta Premier Sarawak telah berkesempatan menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Masjid Jamek Negeri Sarawak sebelum menghadiri Majlis Kesyukuran Hari Raya Aidiladha Majlis Islam Sarawak.
Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel serta Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha. -EDISI UKAS