Jojo Tidak Wakili Sarawak Pada SUKMA Ke-21

Disiarkan pada 04 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Bintang muaythai sensasi negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar tidak akan mewakili kontinjen Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21, Ogos ini.

Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim berkata ia susulan atlet popular dengan gelaran ‘Jojo’ itu terikat dengan kontrak ONE Championship.

“PMNS difahamkan oleh Kelab Rentap bahawa Jojo tidak akan bersama dalam SUKMA 2024 di Sarawak kerana terikat kontrak bersama ONE Championship. 

“Apa-apa pun PMNS menyerahkan pada pihak Jojo untuk membuat keputusan dalam hal tersebut. Jadi kita tidak dapat hendak memaksa kerana beliau ada kontraknya sendiri. 

“Memang kita mahu beliau bersama dengan Sarawak namun kerana beliau terikat dengan perjanjian, kita tidak dapat. Itu (perjanjian) antara kelab mereka,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Berbuka Puasa PMNS Bersama Media di salah sebuah hotel di Kuching pada Rabu.

Untuk rekod, Jojo (18 tahun) dan abang beliau, Muhammad Elias Zulfikar menyumbang dua pingat emas kepada kontinjen Sarawak pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur.

Jumaat bagaimanapun yakin ketiadaan Jojo tidak akan menghambat misi mereka untuk memburu sekurang-kurangnya dua pingat emas pada SUKMA kali ini dengan meletakkan harapan di bahu atlet baharu yang dipertaruhkan nanti.

Katanya, senarai akhir atlet muaythai yang akan membawa cabaran Sarawak akan diputuskan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ujarnya, mereka akan ditapis menerusi beberapa kejohanan yang akan disertai dengan yang terdekat adalah Kejohanan Muaythai Piala Premier Sarawak dijadual berlangsung pada 24 hingga 26 Mei ini di NAIM Bintulu Paragon yang juga akan menjadi venue acara muaythai pada SUKMA nanti.

Tambah Jumaat lagi, terdapat juga perancangan untuk membawa atlet terpilih ‘sparring’ dalam beberapa kejohanan diadakan di dalam dan luar negara bagi memantapkan lagi keupayaan dan persediaan mereka.

“Ada satu, dua di luar negara. Selepas itu Piala Premier. Kemudian ada satu, dua lagi tempat kita akan pergi bagi memastikan atlet bersedia kerana kita fokus,” tambahnya namun enggan mendedahkan lokasi ‘sparring’ yang akan dikunjungi.

Ditanya mengenai pembangunan sukan muaythai di Sarawak, Jumaat berkata PMNS sebagai persatuan bertanggungjawab dalam pembangunan sukan itu telah banyak membantu serta mempromosi anak-anak Muay dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan untuk memastikan sukan tempur itu terus berkembang Sarawak. 

Dalam hal ini, Jumaat turut berterima kasih kepada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak dan Majlis Sukan Negeri Sarawak atas dokongan terhadap program-program pembangunan yang dilaksanakan oleh PMNS.

Mengenai majlis tersebut, Jumaat berkata ia dianjurkan sebagai menghargai peranan media dalam mempromosi sebarang aktiviti yang telah dianjurkan oleh PMNS.

Selain itu katanya ia bagi mengukuhkan lagi hubungan antara PMNS dan pengamal media. - EDISI UKAS