Warga Muda Sarawak 'Ejen' Perpaduan & Pewaris Kepimpinan Bumi Kenyalang

Disiarkan pada 04 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Warga muda Sarawak daripada pelbagai kaum di negeri ini diajak untuk menjadi 'ejen' perpaduan yang sentiasa berjiwa besar kerana golongan ini merupakan pewaris kepimpinan dan pendokong masa depan Bumi Kenyalang.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, golongan berkenaan perlu membina jati diri yang sentiasa mendakap dengan jujur nilai kemanusiaan sejagat yang mencintakan kedamaian.

"Maka saya menyeru warga muda untuk tidak mudah terjebak dengan sentimen-sentimen yang beremosi dan menjauhi daripada elemen perkauman.

"Perpaduan dan kemesraan pelbagai kaum di Sarawak adalah keunikan wajah bangsa Sarawak yang paling 'cantik' dan keakraban serta toleransi pelbagai etnik di Bumi Kenyalang ini adalah khazanah budaya yang harus dibangga dan dipertahankan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Sungkei Bersama UKAS 2024 di sebuah hotel di sini, pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg turut mengambil berat pembangunan modal insan di kalangan generasi muda.

Ini kerana tegasnya, supaya dasar pelaksanaan ekonomi baharu Sarawak akan diwarisi dan diurus oleh anak-anak Sarawak sendiri.

"Maka atas alasan ini penuntut-penuntut institut pendidikan tinggi (IPT) terutamanya di Sarawak adalah dijemput untuk menjalani latihan industri mereka di jabatan-jabatan kerajaan Sarawak.

"Ini kerana selain daripada meraih pengalaman bekerja saya yakin mereka turut akan berpeluang untuk memahami serba sedikit bagaimana pentadbiran kerajaan berfungsi," jelasnya lagi.

Dalam majlis tersebut, Datuk Abdullah turut menyampaikan sumbangan kepada 35 pelajar Tahfiz Darul Ullum dan Tahfiz Hidayatul Quran An-Nur.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Residen Bahagian Sibu Datu Wong Hee Sieng, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Samuel Simon, Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak Prof Datuk Khairuddin Abdul Hamid, Temenggong Dato Vincent Lau Lee Ming, Temenggong Stanley Geramong Bandar serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS