Program PPK Bantu Atasi Masalah Taraf Kewarganegaraan

Disiarkan pada 15 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS




MERADONG: Program Pasukan Petugas Khas (PPK) yang telah berlangsung selama lima hari bermula 10 hingga 14 Jun lepas diyakini mampu menangani isu berkaitan dengan dokumen pengenalan diri dan taraf kewarganegaraan penduduk tempatan khasnya di Meradong. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kejayaan program itu diterjemahkan dengan kehadiran ramai orang dari Daerah Meradong.

Jelasnya, orang ramai yang hadir juga memuji komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan setiap individu mendapat akses kepada dokumen pengenalan diri yang sah.

Terdahulu Datuk Ding telah mengadakan lawatan ke kaunter PPK di Dewan Pejabat Daerah Meradong pada Jumaat bagi memantau hari terakhir operasi tersebut.

Beliau telah menzahirkan penghargaan kepada semua agensi jabatan kerajaan yang telah terlibat dalam menjayakan kaunter PPK ini.

Ia termasuk Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Pejabat Daerah Meradong, Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak, serta Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum Daerah Meradong. –EDISI UKAS