KUCHING: Muhammad Atif Asyrul diumum sebagai johan Pertandingan Pidato Suara Mahasiswa Kenyalang 2024 yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak pada Sabtu.
Kemenangan itu membolehkan Atif membawa pulang hadiah wang tunai dan buku.
Sementara naib johan disandang oleh Muhammad Haziq Awang Shahrin diikuti dengan Keith Ryan Ganyun Kennedy di tempat ketiga.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai.
Program tersebut merupakan anjuran bersama Persatuan BASIS dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dan DBP Cawangan Sarawak.
Ia diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-68 Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan Dekad Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sarawak.
Pertandingan itu telah menggariskan beberapa objektif utama antaranya untuk menjadikan pidato sebagai wadah dalam melahirkan pemimpin berkualiti serta mengetengahkan bakat mahasiswa di Sarawak.
Program itu telah membuka tirai seawal 9 pagi membabitkan 12 mahasiswa Sarjana Muda Sains Pentadbiran UiTM Cawangan Sarawak. -EDISI UKAS