13 Buah Chapel Batu Danau Terima Dana RM1,328,300 Dari UNIFOR

Posted on 31 Oct 2025
Source of News: UKAS


LIMBANG: Sebanyak 13 buah chapel di kawasan Batu Danau menerima dana berjumlah RM1,328,300 pada Majlis Penyerahan Cek Dana Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang berlangsung di Bilik Seminar Dewan St. Edmund, Limbang pada Khamis.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang mewakili UNIFOR.

Dalam ucapan ringkasnya, Dato Paulus menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui UNIFOR yang sentiasa komited membantu pembangunan rumah-rumah ibadat pelbagai denominasi di Sarawak.

Beliau menyeru semua penerima agar mengurus dan menggunakan peruntukan tersebut dengan penuh amanah supaya kerja pembangunan atau naik taraf chapel dapat disiapkan mengikut perancangan.

Selain itu, beliau turut menasihatkan agar laporan penggunaan peruntukan disediakan dengan teratur sebaik sahaja projek siap.

Bagi projek yang masih berjalan, laporan kemajuan perlu dikemukakan dua kali setahun, iaitu pada bulan Mac dan September.

Jelasnya, pelaporan yang baik akan memudahkan permohonan bantuan tambahan pada masa akan datang.

Sementara itu, Reverend Father Henry Salleh, Rektor Paroki Gereja St. Edmund Limbang yang turut hadir, merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan membantu masyarakat khususnya dalam hal penyediaan rumah ibadat.

Beliau berharap kemudahan yang dibina kelak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk penyatuan dan pertumbuhan komuniti gereja.

Turut hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Paroki Alexius Sampai Saka, Wakil Gereja BEM Pastor Patrick Balong dan Ahli Majlis Daerah Limbang Kaunselor Aaron Rachel Palu.-EDISI UKAS