Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Sarawak 2024 Sempena Musim Perayaan Dilancarkan

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
KUCHING: Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Sarawak bersempena sambutan perayaan tahun 2024 dilancarkan di Stesen PETROS Darul Hana pada Rabu.
 
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, tujuan program itu dilaksanakan adalah bagi memberikan kesedaran keselamatan di jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan serta kematian akibat kemalangan akibat kecuaian pemanduan terutama pada musim perayaan.
 
Menurutnya, golongan sasaran program pada kali ini adalah para pemandu kenderaan, penunggang motosikal dan penunggang motor penghantar makanan.
 
"Sehubungan itu, bagi memenuhi tujuan tersebut, pihak Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak (MKJRS) dan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) mengambil inisiatif untuk memupuk kesedaran di kalangan pengguna jalan raya mengenai kepentingan menitik beratkan aspek keselamatan semasa berada di atas jalan raya melalui program ini," katanya.
 
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 5,278 kemalangan telah direkodkan di seluruh Sarawak setakat daripada Januari hingga Mac 2024.
 
Jelasnya, empat kategori telah dicatatkan dengan kemalangan rosak sahaja mencatatkan kemalangan tertinggi iaitu sebanyak 5,092 kes diikuti kemalangan maut sebanyak 75 kes, kemalangan ringan sebanyak 74 kes dan kemalangan parah sebanyak 37 kes.
 
Justeru katanya, pemandu kereta dan pembonceng motosikal dinasihatkan untuk berhati-hati terutamanya Hari Raya Aidilfitri ini dengan mengambil langkah berjaga-jaga sebelum dan ketika di atas jalan raya.
 
“Seperti setiap tahun, kita mengingatkan pengguna jalan raya terutamanya pada musim perayaan ini untuk sentiasa berhati-hati di atas jalan raya.
 
“Manakala orang ramai yang balik kampung dinasihatkan untuk memeriksa kenderaan mereka untuk melihat sama ada kenderaan dalam kondisi yang terbaik.
 
“Bila ada memandu pula, pastikan anda mempunyai tidur yang mencukupi dan mengambil rehat setiap dua atau tiga jam sekiranya memandu jarak jauh atau memiliki pemandu ganti sebab faktor penat menjadi salah satu sebab kemalangan di atas jalan raya,” katanya.
 
Dato Sri Lee menambah, beliau berharap kempen yang diadakan ini dapat menyemaikan budaya keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya demi keselamatan diri sendiri dan bukannya agensi penguatkuasa jalan raya.
 
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kementeriannya akan menjalankan kaji selidik terhadap kawasan kerap kemalangan bagi faktor-faktor cuaca, jalan dan bentuk mukabumi yang mencatatkan 5 peratus dari jumlah 21,419 kemalangan pada tahun lepas.
 
“Kementerian saya akan bertemu dengan pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk perkara ini terutamanya faktor jalan yang akan dibincangkan.
 
“Kaji selidik akan melibatkan semua jalan raya termasuk Lebuh Raya Pan Borneo bagi melihat sendiri punca kemalangan dari infrastruktur jalan raya itu sendiri,” jelasnya.
 
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Residen Kuching Norleha Shariff, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Selamat Jati Yanjah, Pengurus Besar SEDC Energy Datu Abdul Hadi Datuk Kadir dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Jili. -EDISI UKAS