TOKYO: Sarawak memperkukuh sektor perikanan dan akuakultur negeri dengan meneliti model penyelidikan Jepun yang bersepadu dan berasaskan sains melalui Agensi Penyelidikan dan Pendidikan Perikanan Jepun (FRA).
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Jepun menjadi contoh terbaik dalam membangunkan sistem penyelidikan perikanan yang kukuh, berterusan dan selaras dengan dasar kerajaan, industri serta akademik.
“Kita ingin memahami bagaimana Jepun berjaya membina kapasiti penyelidikan dan mengekalkan kesinambungan antara bidang akademik, industri dan dasar kerajaan.
“Pengalaman ini amat relevan bagi Sarawak memperkukuh ekosistem penyelidikan dan latihan dalam sektor akuakultur dan sumber marin,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja ke FRA di Tokyo, yang turut disertai Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Datuk Martin Ben serta Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat.
Menurut Dato Sri Dr Stephen, FRA yang bernaung di bawah Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun, merupakan institusi kebangsaan yang menyelaras penyelidikan, pembangunan dan pendidikan perikanan bagi menjamin bekalan makanan laut yang stabil serta pembangunan industri secara mampan.
Beliau menjelaskan Jepun kini mempunyai lebih 500 penyelidik sepenuh masa dalam bidang perikanan di seluruh negara, berbanding Sarawak yang masih di peringkat awal dengan hanya lima penyelidik aktif.
Delegasi Sarawak turut diberi taklimat mengenai model Pengurusan Perikanan Berasaskan Sains yang menekankan penggunaan data satelit, model dinamik lautan serta kerjasama dengan komuniti nelayan untuk meramal perubahan ekosistem dan corak tangkapan ikan.
Dalam masa yang sama, Dato Sri Dr Stephen menyatakan minat Sarawak untuk mencontohi pendekatan Jepun dalam menguruskan spesies ikan invasif yang mengancam biodiversiti tempatan, termasuk isu kemasukan ikan Amazon ke sungai-sungai Sarawak yang kini menjejaskan spesies ikan asli.
Beliau turut menambah, lawatan tersebut membuka peluang kepada Sarawak untuk menjalin kerjasama penyelidikan serta latihan jangka pendek di bawah Japan International Cooperation Agency (JICA) bagi pegawai dan penyelidik tempatan.
Selain itu, delegasi juga diberi penerangan mengenai Universiti Perikanan Kebangsaan atau National Fisheries University yang beroperasi di bawah FRA dan berperanan melatih pelajar serta profesional dalam bidang sains marin, pemprosesan makanan laut dan kejuruteraan akuakultur.
Beroperasi di bawah Pelan Jangka Sederhana Kelima (2021–2025), FRA memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan teknologi perikanan serta akuakultur mampan, pembangunan sumber manusia dalam sains perikanan dan pemulihan industri perikanan Jepun melalui inovasi berasaskan data dan teknologi.-EDISI UKAS