294 Graduan Diraikan Dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak

Disiarkan pada 30 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Seramai 294 graduan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak diraikan dalam majlis konvokesyen yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.

Premier Sarawak merangkap Pro Canselor Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyempurnakan penganugerahan kepada graduan yang dipengerusikan oleh Canselor Swinburne University of Technology, Profesor John Pollaers OAM.

Majlis berprestij tersebut menyaksikan penganugerahan 245 ijazah sarjana muda merangkumi pelbagai bidang seperti perniagaan (102 graduan), sains komputer (43 graduan), kejuruteraan (36 graduan), reka bentuk (32 graduan), teknologi maklumat dan komunikasi (6 graduan), media dan komunikasi (9 graduan) serta sains (15 graduan).

Selain itu, dua graduan turut menerima ijazah berganda dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Robotik dan Mekatronik) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer.

Dalam pada itu, seramai 28 graduan telah dianugerahkan ijazah sarjana, terdiri daripada 21 graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Antarabangsa), dua Sarjana Perniagaan (Penyelidikan), serta masing-masing seorang bagi program Sarjana Pengurusan Pembinaan, Sarjana Teknologi Maklumat, Sarjana Kejuruteraan (Penyelidikan), Sarjana Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Penyelidikan), dan Sarjana Sains (Penyelidikan).

Majlis konvokesyen turut meraikan 12 graduan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perniagaan, kejuruteraan, kemanusiaan, seni dan sains sosial, teknologi maklumat dan komunikasi, serta sains.

Difahamkan, seramai 38 lagi graduan turut menerima penganugerahan secara tidak hadir pada konvokesyen kali ini.

Majlis yang penuh bermakna itu turut mencerminkan jangkauan global Swinburne Sarawak dengan kehadiran graduan dari seluruh Malaysia serta negara-negara seperti Bangladesh, China, Mesir, Gabon, India, Indonesia, Kazakhstan, Kenya, Myanmar, Pakistan, Arab Saudi, Sri Lanka, Sudan, Turkmenistan, Zambia dan Zimbabwe. -EDISI UKAS

Disedia oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi