UKAS Fokus Perkukuh Infrastruktur Data & Keselamatan Siber

Disiarkan pada 30 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bercadang untuk memperkukuh infrastruktur dan dan keselamatan siber melalui sesi pertemuan dan perkongsian strategik bersama syarikat Humanlogica dan rakan teknologinya, FTP di Bilik Mesyuarat UKAS di sini pada Khamis.

Pertemuan tersebut diketuai oleh Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan yang menyambut delegasi diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Humanlogica, Dr. Kamree Aziz.

Pertemuan itu diadakan susulan selepas setahun pelaksanaan Audit Keselamatan Siber UKAS (Ogos 2024) yang mematuhi Akta Agensi Keselamatan Siber Nasional (NACSA) 854.

Antara fokus utama ialah refleksi terhadap permasalahan dan akar punca yang dikenal pasti dalam audit terdahulu.

Selain itu turut diadakan ialah pembentangan cadangan penyelesaian oleh pihak Humanlogica dan FTP dengan pengenalan Sistem Pengurusan Kandungan (CMS) baharu beserta aplikasi sokongan bagi mempertingkatkan pengurusan maklumat, media, dan data dalaman UKAS.

Dalam sesi itu, Awang Putrayusrie menekankan kepentingan pengurusan dan keselamatan data yang efisien selaras dengan peranan UKAS sebagai agensi utama penyebaran maklumat rasmi kerajaan.

“Data kita meliputi pelbagai bentuk seperti berita, program, gambar, video, ucapan, infografik, penerbitan dan montaj yang perlu disimpan dengan selamat dan mudah dicapai untuk kegunaan jangka panjang.

“Sebab itu kita perlukan sistem yang lebih sistematik, kompresif, moden dan selaras dengan keperluan semasa,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa UKAS kini sedang dalam proses menambahbaik sistem simpanan data dengan kerjasama Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU) bagi memastikan integrasi serta keselamatan siber berada pada tahap optimum.

Melalui inisiatif ini katanya, UKAS dijangka memperluas penggunaan teknologi pintar dalam operasi komunikasi kerajaan Sarawak, termasuk pengurusan kandungan digital, automasi data, serta perlindungan maklumat berasaskan awan.

Pertemuan tersebut turut membuka ruang perbincangan mengenai inisiatif teknologi masa depan di UKAS sejajar dengan hala tuju transformasi digital kerajaan Sarawak di bawah aspirasi PCDS 2030.-EDISI UKAS

Disediakan oleh : Maryam Zanariah Ibrahim
Foto : George S. Embie