Tindakan Vandalisme Jejas Perkhidmatan, Timbulkan Persepsi Negatif Terhadap Agensi Bertanggungjawab

Disiarkan pada 30 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Tindakan vandalisme terhadap aset-aset utiliti di bawah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) bukan sahaja menjejaskan perkhidmatan, malah menimbulkan salah faham yang mencetuskan persepsi negatif masyarakat terhadap agensi bertanggungjawab.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab oleh segelintir individu yang mementingkan diri sendiri sering menyebabkan gangguan bekalan air dan elektrik, sehingga pengguna lain menuding jari kepada agensi di bawah kementeriannya.

“Pernah berlaku di mana injap air dibuka dan disalurkan ke satu premis sahaja untuk mengatasi masalah tekanan air di tempat mereka sehingga tekanan dan aliran air ke tempat-tempat lain menjadi lemah dan terputus.

“Begitu juga dengan elektrik di mana kabinet elektrik di tepi jalan dirosakkan untuk mencuri kabel dan komponen elektrik lain yang mengandungi logam dan tembaga sehingga menyebabkan bekalan elektrik terputus,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Sambutan Hari Integriti MUTS 2025 di sini pada Khamis.

Kesannya menurut beliau bukan sahaja bekalan elektrik ke rumah mahupun premis terputus malah lampu di sepanjang jalan tidak berfungsi sekaligus menimbulkan persepsi agensi seperti Sarawak Energy Berhad (SEB) tidak melaksanakan tanggungjawab mereka.

Dalam majlis sama, Dato Sri Julaihi turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MUTS dan SIRIM Berhad untuk kerjasama dalam aspek keselamatan, kualiti dan prestasi peralatan elektrik serta gas di Sarawak.

Hadir sama, Timbalan Menteri MUTS (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri MUTS (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Setiausaha Tetap MUTS Datu Jafri Lias, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Datu Ir Ts Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan serta tetamu yang lain. -EDISI UKAS