Datu Hii Chang Kee Dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah BESarawak Yang Baharu

Posted on 30 Oct 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Business Events Sarawak (BESarawak) hari ini mengumumkan pelantikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah yang baharu berkuat kuasa 1 November 2025.

Beliau menggantikan Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg yang bersara pada Ogos lalu.

Pelantikan tokoh pentadbiran berpengalaman itu dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju industri acara perniagaan di peringkat serantau dan antarabangsa selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii mengetuai bidang komunikasi awam, transformasi perkhidmatan, inovasi serta pendigitalan perkhidmatan kerajaan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelantikan tersebut amat bertepatan dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh sinergi antara sektor awam dan industri.

“Kedudukan Datu Hii dalam kerajaan membolehkan beliau menghubungkan secara strategik antara peringkat dasar dan pelaksanaan, memastikan Sarawak menjadi model kepimpinan inklusif di mana kolaborasi antara kerajaan dan industri mendorong pertumbuhan mampan,” kata BESarawak dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas hala tuju BESarawak, Datu Hii menegaskan bahawa tumpuan akan diberikan kepada acara berimpak tinggi dan berlegasi yang memberi manfaat ekonomi, sosial dan pembangunan lestari kepada Sarawak.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, kita akan mengubah Sarawak menjadi destinasi acara perniagaan bernilai strategik tinggi berasaskan tiga tonggak utama iaitu transformasi dan inovasi, impak dan legasi, serta perkongsian dan pembangunan modal insan,” katanya dalam kenyataan sama.

Beliau turut menjelaskan lima bidang keutamaan yang akan menjadi tunjang kepada pelan pembangunan BESarawak iaitu Pembangunan destinasi, Pempelbagaian pasaran, Transformasi digital, Kepimpinan kelestarian serta Pembangunan Bakat.

“Bidang tumpuan ini akan menjadi tulang belakang kepada perjalanan Sarawak untuk muncul sebagai destinasi global bagi acara perniagaan bernilai tinggi, berimpak besar, dan berpaksikan kemajuan, kerjasama serta kebanggaan bersama,” tambahnya.

Berbekalkan lebih 30 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam, Datu Hii bukanlah nama baharu dalam sektor pelancongan dan acara perniagaan.

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, dan mengetuai penyediaan Pelan Induk Pelancongan Sarawak 2021–2035.

Datu Hii turut dikenali di peringkat antarabangsa sebagai tokoh yang memperjuangkan agenda acara berlegasi melalui kepimpinannya dalam Legacy Event Advocacy Policy (LEAP) Summit yang membawa kepada Borneo Legacy Declaration, disokong pembuat dasar dan pemimpin industri dari Malaysia, Australia, Filipina dan United Kingdom.

Antara pencapaian lain beliau termasuk penglibatan aktif dalam Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Majlis Kesenian Sarawak (SAC), dan Tourism Malaysia serta peranan penting dalam pembangunan Muzium Budaya Borneo.

Pelantikannya menandakan permulaan era baharu BESarawak yang menekankan kepimpinan inklusif, kemajuan berasaskan legasi, dan pengukuhan Sarawak sebagai destinasi global acara perniagaan berimpak tinggi.-EDISI UKAS