KUCHING: Selepas dua hari sesi semakan intensif dan bengkel transformasi, para usahawan di bawah program SCALE Sarawak Kohort 2 kini bersedia mengembangkan perniagaan mereka ke luar Sarawak, menandakan langkah berani dalam memperkasa keusahawanan tempatan.
Program pemecut selama lima bulan itu dianjurkan oleh Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan kerjasama Endeavor Malaysia, menghimpunkan para pengasas syarikat tempatan yang berpotensi tinggi untuk menjalani pengalaman pembelajaran menyeluruh dari Mei hingga Oktober 2025.
Menurut satu kenyataan pada Khamis, antara peserta yang terlibat ialah SOL Digital, Belibeli Super App, OINC, Noms Fochun Founders, Kosa Coffee dan Satok Bridge Digital.
Inisiatif ini merangkumi sesi bimbingan berfokus, semakan perniagaan serta bengkel yang direka untuk memperkukuh keupayaan kepimpinan, menambah baik model perniagaan dan membangunkan strategi pertumbuhan.
Antara mentor berpengalaman yang terlibat termasuk Shan Li Tay, Mac Chung Lynn, Zeth Lim, Zare Lee, Ziwei Lim dan Anna Chew yang berkongsi pandangan praktikal mengenai pembinaan jenama, penglibatan pelanggan dan pertumbuhan perniagaan yang mampan.
Sepanjang acara penutup selama dua hari di TEGAS Digital Village, para peserta mengambil bahagian dalam sesi bimbingan berkumpulan, bengkel interaktif serta semakan panel perniagaan yang menilai keupayaan mereka untuk berkembang dan kesediaan menarik pelaburan.
Melalui SCALE Sarawak, TEGAS dan Endeavor Malaysia berhasrat memupuk ekosistem permulaan (startup) yang dinamik dan dipacu inovasi, sekali gus memperkasa pengasas tempatan untuk berkembang yakin ke pasaran serantau dan global.-EDISI UKAS