SRI AMAN: Kemeriahan program Larian Baton sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 kini singgah di Bahagian Sri Aman.
Dianggarkan seramai 500 peserta terdiri daripada kakitangan kerajaan dan swasta, pelajar sekolah menengah, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai telah menyertai edisi ke-9 larian baton yang diadakan di Tebingan Sungai Sri Aman pada Sabtu.
Keterujaan warga Sri Aman untuk menyertai program tersebut dibuktikan apabila mereka mula memenuhi ruang Tebingan Sungai Sri Aman sejak jam 6 pagi lagi.
Sebelum larian bermula, telah diadakan aktiviti senamrobik yang turut disertai Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, dif-dif kenamaan lain serta para peserta larian.
Datuk Francis Harden kemudiannya melepaskan peserta larian baton yang diketuai Ketua Sukan Ikon iaitu bekas atlet bola sepak Sarawak, Abang Yahya Abang Sulaiman di mana mereka menempuh larian sejauh 3.3km menyelusuri beberapa jalan utama dalam bandar Sri Aman.
Selain itu, larian turut disertai barisan atlet pasukan bola sepak dan menembak SUKMA Sarawak.
Acara diteruskan dengan Datuk Francis Harden menyempurnakan majlis penyerahan baton yang disampaikan oleh Abang Yahya.
Turut hadir dalam larian baton itu ialah Ahli Parlimen Sri Aman Dato' Sri Doris Sophia Brodie, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA XXI Sarawak 2024 Datu Hii Chang Kee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Norazah Awang Sohor, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datu Felicia Tan Ya Hua, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dolhadi Mazuki, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan tetamu-tetamu lain.
Larian baton akan diteruskan ke Bahagian Serian pada Ahad.
Untuk rekod, Bahagian Sri Aman akan menjadi venue bagi sukan tinju pada SUKMA XXI Sarawak 2024. – EDISI UKAS