Lapangan Terbang Antarabangsa Baharu Sarawak Simbol Kemajuan Wilayah Maju

Disiarkan pada 30 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak bersedia melakar sejarah baharu dengan pembinaan sebuah lapangan terbang bertaraf dunia di Tanjung Embang, yang bakal menjadi mercu tanda ikonik dan simbol kemajuan wilayah ini menuju status negeri maju menjelang 2030.

Direka dengan konsep generasi terkini dan teknologi pintar, lapangan terbang ini dijangka bukan sahaja menandingi, malah mengatasi kemudahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari segi reka bentuk, kecekapan dan kemampanan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata projek mega tersebut akan menjadi antara tiga agenda infrastruktur utama negeri yang bakal dilaksanakan menjelang tahun 2030 menandakan anjakan besar dalam strategi pembangunan ekonomi dan logistik Sarawak ke arah ekosistem penerbangan masa depan.

“Model lapangan terbang ini berasaskan reka bentuk Lapangan Terbang Antarabangsa Doha yang menekankan konsep kompleks moden dengan kemudahan menyeluruh.

"Projek ini melibatkan pembinaan dua landasan, bangunan utama, kemudahan IT berteknologi tinggi dan jalan masuk bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ulang Tahun Jurutera Perunding Bumiputera Sarawak (GJPBS) & Anugerah Jurutera 2025 di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, projek mega berkenaan akan memerlukan pelbagai perkhidmatan perundingan serta kepakaran kejuruteraan memandangkan ia tidak dapat dilaksanakan oleh satu kontraktor sahaja.

“Lapangan terbang ini bukan sekadar terminal penerbangan, tetapi satu kompleks lengkap dengan kemudahan sampingan.

"Apabila siap kelak, ia akan menjadi lapangan terbang terbaik di Malaysia dengan kemudahan lebih canggih daripada KLIA yang merupakan generasi lama,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa pembinaan lapangan terbang baharu ini akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri menerusi peluang pekerjaan baharu dan aktiviti ekonomi sokongan seperti perkhidmatan pembinaan, bahan binaan, serta teknologi maklumat.

Hadir sama, Pengerusi (GJPBS), Ir. Irwan Zulkarnain Datuk Mohd Hasbie.-EDISI UKAS

Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini