125 Sukarelawan Hadiri Kursus Asas Sukarelawan Am SUKMA XXI Sarawak 2024

Disiarkan pada 14 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Seramai 125 sukarelawan am terpilih di bahagian ini telah menghadiri Kursus Asas Sukarelawan Am SUKMA XXI Sarawak 2024 di Dewan Suarah Bintulu, baru-baru ini.
 
Para peserta terdiri daripada kakitangan kerajaan, Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Institut Kemahiran Malaysia (IKM) serta orang awam.
 
Kursus tersebut diadakan selama dua hari  bertujuan untuk memberi pendedahan, maklumat dan informasi kepada para sukarelawan.
 
Terdapat lapan modul latihan yang terdiri daripada modul pengenalan SUKMA iaitu modul penetapan matlamat, modul komunikasi berkesan, modul pengurusan krisis, modul pertolongan cemas, modul penugasan khusus, modul pengoperasian dan pengurusan serta modul pembangunan elaun.
 
Para sukarelawan memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan penganjuran SUKMA Ke-21 yang akan diadakan pada bulan Ogos depan.
 
Temasya SUKMA Sarawak 2024 akan mempertandingkan sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan di sembilan bahagian dan lima perkampungan sukan.
 
Bagi Bahagian Bintulu pula, terdapat tiga  acara akan dipertandingkan yang terdiri daripada Sukan Takraw (Lelaki/Perempuan), Bola Sepak dan Muay Thai. -EDISI UKAS