Projek Mini Pusat Khidmat Ulu Merapok Pacu Pembangunan Komuniti & Ekonomi Luar Bandar

Disiarkan pada 29 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


LAWAS: Projek Mini Pusat Khidmat Ulu Merapok menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti dan ekonomi luar bandar melalui pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata lokasi strategik dan kesuburan tanah di kawasan berkenaan membuka peluang besar untuk pembangunan pertanian termasuk penanaman buah-buahan, sayur-sayuran serta penanaman padi secara komersial.

“Saya ingin melihat masyarakat setempat terlibat dalam pemprosesan hasil pertanian untuk menambah nilai produk mereka.

“Kita juga akan menarik penyertaan syarikat bagi membantu dari segi latihan, teknologi ICT serta pemasaran dalam talian agar produk yang dihasilkan lebih berkualiti dan berdaya saing,” katanya ketika membuat lawatan projek berkenaan pada Isnin.

Beliau turut menasihatkan agar tanaman durian tua digantikan dengan tanaman baharu seperti pisang dan sayur-sayuran serta menggalakkan penggunaan teknologi moden dalam pertanian bagi meningkatkan hasil dan pendapatan.

“Kerajaan negeri akan membantu mencari syarikat yang boleh bekerjasama dalam aspek pemprosesan dan pemasaran hasil pertanian.

“Bengkel latihan juga akan diadakan bagi melatih masyarakat menggunakan teknologi baharu dalam bidang pertanian,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua turut menegaskan kepentingan pendidikan dan kemahiran sebagai asas utama dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Tegasnya, komitmen kerajaan negeri untuk terus menambah baik kemudahan asas seperti pembinaan jalan pertanian, sekolah baharu dan kuarters guru diyakini mampu menyokong pembangunan menyeluruh di kawasan Ulu Merapok serta memperkukuh kesejahteraan masyarakat luar bandar. – EDISI UKAS