 
LAWAS: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi pembinaan Surau Kampung Sasa yang dijangka dilaksanakan pada tahun hadapan sebagai langkah memperkukuh pembangunan komuniti serta kesejahteraan penduduk di kawasan Ulu Merapok.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek berkenaan bukan sahaja menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa, tetapi turut menjadi sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memodenkan ekonomi luar bandar.
Beliau turut berkongsi sejarah kawasan Merapok yang pernah terkenal dengan penanaman padi serta penggunaan jambatan gantung buluh sebagai laluan utama pada masa lalu.
“Kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak menumpukan kepada pembangunan pertanian di kawasan Merapok, Sundar, Trusan, Long Semadoh dan Ba’Kelalan.
“Di samping itu, Limbang dan Lawas juga bakal dijadikan pusat pengeluaran kerbau dengan kilang pemprosesan keju daripada susu kerbau telah dibangunkan di Meragang,” katanya semasa membuat lawatan projek berkenaan pada Isnin.
Menurut beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) juga akan menambah baik sistem jalan dan saliran bagi memastikan kemudahan infrastruktur di kawasan Merapok terus ditingkatkan, sejajar dengan keperluan penduduk serta pembangunan sektor pertanian.
Tambahnya, penduduk tempatan digalakkan untuk mengembangkan aktiviti pemprosesan makanan berasaskan hasil pertanian seperti ubi, pisang, sambal tahai, serta keropok udang dan ikan, bagi menambah nilai produk tempatan.
Datuk Amar Awang Tengah turut menyeru penduduk agar mengekalkan perpaduan dan kerjasama antara komuniti demi memastikan pembangunan ekonomi dan pertanian moden di Ulu Merapok dapat dilaksanakan secara mampan dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.-EDISI UKAS