Datuk Amar Douglas Uggah Ketuai Rombongan Sarawak Adakan Sesi Libat Urus Bersama Jabatan Pengangkutan Wilayah Sichuan

Disiarkan pada 29 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


CHENGDU: Lawatan rasmi delegasi Sarawak ke Wilayah Sichuan yang diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas diteruskan dengan kunjungan hormat serta sesi taklimat teknikal yang dihoskan oleh Jabatan Pengangkutan Wilayah Sichuan pada Selasa.

Delegasi Sarawak disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Wilayah Sichuan Wang Maokui bersama beberapa pengarah bahagian.

Dalam sesi berkenaan Jabatan Pengangkutan Wilayah Sichuan membentangkan peranan, pencapaian serta inisiatif strategik jabatan yang bertanggungjawab dalam perancangan, pembinaan dan pengurusan rangkaian pengangkutan darat dan air di seluruh wilayah.

Difahamkan, Sichuan kini mencatatkan jumlah keseluruhan jalan raya tertinggi di China dengan 418,000 kilometer jaringan lebuh raya termasuk 369,000 kilometer jalan luar bandar dan 10,310 kilometer lebuh raya ekspres.

Datuk Amar Douglas Uggah dalam ucapannya berkata, libat urus dengan Sichuan ini amat tepat pada masanya memandangkan kedua-dua wilayah berkongsi latar geografi dan persekitaran yang hampir serupa.

“Kejayaan Sichuan membangunkan rangkaian jalan raya yang luas dan diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam kawasan berbukit memberikan panduan berharga kepada Sarawak ketika kita memperkukuh agenda pembangunan infrastruktur dan keterhubungan di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030,” katanya.

Pihak berkuasa Sichuan turut berkongsi bahawa kerangka perancangan mereka menggabungkan penggunaan Building Information Modelling (BIM), Geographic Information Systems (GIS), serta alat penilaian berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) untuk mengenal pasti, meramal dan mengurangkan risiko geologi serta alam sekitar.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menambah, Sarawak berminat untuk mempelajari sistem pengurusan ekologi komprehensif Sichuan, khususnya dalam aspek tadbir urus pengangkutan, mekanisme sokongan industri serta perlindungan alam sekitar berasaskan teknologi.

"Lawatan ini sekali lagi menegaskan tekad Sarawak untuk meniti landasan pembangunan yang seimbang antara kemodenan dan pemeliharaan alam.

"Kita berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan Sichuan bagi memajukan infrastruktur yang mampan, pintar dan berdaya tahan demi manfaat rakyat," jelasnya.

Delegasi Sarawak turut dijemput untuk melawat beberapa tapak lebuh raya ekspres serta menghadiri taklimat lanjut mengenai sistem perancangan, teknologi pembinaan dan rangka kerja perlindungan alam sekitar Sichuan. -EDISI UKAS