 
SIBU: Pembelajaran di sekolah rendah bakal melangkah ke era baharu apabila konsep Kelas Perdana atau Smart Classroom mula diperkenalkan di Sibu, menjanjikan suasana pengajaran yang lebih interaktif dan berkesan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata pendekatan berasaskan teknologi ini berupaya mengubah landskap pendidikan dengan menyediakan kemudahan digital yang menyeluruh kepada guru dan murid.
“Kelas pintar ini bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, tetapi satu usaha untuk memastikan proses pengajaran menjadi lebih menarik dan mudah difahami oleh murid,” jelasnya ketika melakukan lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kiang Hin, pada Selasa.
Menurut beliau, setiap Kelas Perdana dilengkapi dengan papan interaktif, pengimbas buku serta sistem audio visual yang membolehkan guru menyampaikan isi pelajaran secara lebih dinamik, manakala murid pula dapat belajar dalam suasana lebih menyeronokkan.
Katanya, sebahagian besar sekolah rendah di Sibu masih belum memiliki kemudahan seumpama itu kerana faktor kewangan, dengan hanya beberapa sekolah mampu membangunkannya melalui sumbangan lembaga pengurus sekolah masing-masing.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, usaha mendapatkan peruntukan khas bagi sekolah rendah di Sibu akan digerakkan agar mereka tidak ketinggalan dalam arus digitalisasi pendidikan yang kini dipacu oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“SJKC Kiang Hin merupakan antara sekolah yang disenaraikan dalam fasa pertama pelaksanaan inisiatif ini.
"Dengan anggaran kos sekitar RM20,000 bagi setiap bilik darjah, dan sekolah ini yang mempunyai sepuluh bilik darjah memerlukan kira-kira RM200,000 untuk melengkapkan kemudahan berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif tersebut selaras dengan matlamat KPM untuk memperluas pelaksanaan Smart Classroom di seluruh negara menjelang 2027, bagi memastikan setiap murid berpeluang menikmati pengalaman pembelajaran yang moden dan inklusif.
“Fokus utama kami bukan hanya memperkenalkan peralatan teknologi, tetapi memastikan impaknya benar-benar dapat meningkatkan minat murid serta keberkesanan pengajaran,” tegasnya.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Pengurus SJKC Kiang Hin Kapitan Su Teck Chee, barisan ahli lembaga pengurus, guru besar serta warga pendidik sekolah tersebut. -EDISI UKAS