 
MUKAH: UiTM Night Bazaar Siri Ke-7 anjuran Unit Akademi Pembangunan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) dengan kerjasama Persatuan D’Bes menjadi platform untuk mencorak pelajar menjadi usahawan muda berjiwa besar dan dinamik.
Ketua Projek, Dr Francesca Enchang, berkata UiTM Night Bazaar secara tidak langsung memberi latihan keusahawanan sebenar buat pelajar melalui penyertaan mereka sebagai vendor sepanjang program berlangsung.
“Kami mahu pelajar bukan sekadar belajar teori keusahawanan dalam kelas, tetapi merasai cabarannya, berurusan dengan pelanggan, mengurus jualan, promosi dan keuntungan.
"Inilah pengalaman yang membentuk ketahanan dan keyakinan diri mereka,” katanya dalam majlis penutupan program berkenaan, pada Selasa.
Tambah beliau, bazaar ini juga menjadi wadah interaksi sosial yang positif, mengukuhkan hubungan antara pelajar, staf dan masyarakat setempat.
“UiTM Night Bazaar bukan sahaja ruang berniaga, tetapi juga ruang bersosial dan berhibur dalam suasana yang sihat dan harmoni,” ujarnya lagi.
Sepanjang penganjuran, program itu menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 300 pengunjung terdiri daripada pelajar dan penduduk sekitar Mukah.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk senaman aerodance, konsert Galau, pertandingan karaoke berantai, persembahan bakat, cabutan bertuah, serta jualan makanan dan servis oleh vendor dalam dan luar kampus.
Menariknya, pelbagai persatuan pelajar turut diberi peluang berniaga, menjadikan acara ini sebagai medan latihan praktikal yang mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan perkhidmatan pelanggan.
Sementara itu, Koordinator Prasiswazah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Dr Yusman Yacob menyeru pelajar agar terus aktif menjadikan keusahawanan sebagai budaya kampus.
“Program seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat dan potensi kepimpinan, tetapi juga membina pemikiran kreatif dan inovatif, satu ciri penting seorang usahawan masa depan,” tegas beliau. -EDISI UKAS